Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis (IPD) Serdang kira-kira pukul 8.30 malam itu, polis menahan 30 orang pemain selain enam pekerja pusat siber tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, sebelum operasi tersebut dijalankan, pihaknya mendapati pemain-pemain sedang berjudi tanpa menyedari kehadiran pihak polis.

“Hasil daripada serbuan tersebut, kita turut merampas 44 buah komputer riba dan empat mesin simulator perjudian. Polis turut merampas RM4,325 wang tunai hasil daripada urusniaga perjudian kedua-dua premis tersebut.

“Kesemua premis ini menjalankan kegiatan judi dalam talian dengan menggunakan konsep kafe siber bagi mengaburi mata orang awam dan juga pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Ismadi menambah, kesemua premis berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), pintu magnet dan mempunyai pin keselamatan bagi menyukarkan orang ramai berada di premis tersebut sekiranya tidak dikenali oleh penjaganya. 

Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan itu di bawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut manakala kesemua pemain ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Kita juga akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kepada pengusaha dan pemilik perniagaan yang menjalankan kegiatan perjudian ini,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE