Dalam serbuan yang dilakukan pada Selasa dan Rabu lalu itu, kedua-dua premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan memiliki salinan langganan perisian Microsoft, Adobe dan Autodesk yang melanggar akta hak cipta.

MUHAMMAD AIZUDIN MOHD. SAID
MUHAMMAD AIZUDIN MOHD. SAID 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Muhammad Aizudin Mohd. Said berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang merupakan pereka, pembuat, penjual dan pengedar barangan mainan di Taman Teknologi Cheng pada Selasa lalu, pihaknya merampas tiga unit komputer mengandungi perisian berkenaan bernilai keseluruhan RM12,000.

“Dalam serbuan kedua pula di sebuah premis reka bentuk barangan kejuruteraan di taman teknologi yang sama pada keesokan hari, pihak kami merampas dua unit komputer dan dua unit komputer riba yang kesemuanya bernilai RM16,000, juga disyaki mengandungi salinan langganan beberapa program perisian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Aizudin, ketika serbuan di premis pertama, terdapat antara 10 hingga 15 orang pekerja manakala terdapat enam pekerja semasa pihaknya menyerbu premis kedua.

Pemilik syarikat itu didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM20,000 bagi setiap salinan langganan, atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun jika kesalahan itu berulang, kata beliau, pemilik syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kertas siasatan kedua-dua premis ini telah dibuka dan KPDNHEP akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE