Kedua-dua suspek lelaki berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan di dalam kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki mereka menemukan bahan terlarang tersebut yang disembunyikan di dalam bonet kereta.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, daun ketum dengan nilai kira-kira RM4,000 itu dibungkus di dalam sebanyak 20 plastik hitam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek cuba membawa daun ketum itu untuk dijual di Pahang.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 April ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar bekalan daun ketum di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan daun ketum itu kepada mana-mana balai polis berdekatan. - UTUSAN ONLINE