PENIAGA bergaduh dengan pegawai penguat kuasa MPK dalam kejadian yang berlaku di Bazar Ramadan, Klang, semalam. media sosial

Akibat daripada serangan itu, kedua-dua individu terbabit berusia 41 dan 18 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.40 malam apabila pegawai penguat kuasa MPK sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi perniagaan tersebut.

Menurutnya, ketika tiba di gerai peniaga terbabit yang menjual minuman, penguat kuasa MPK meminta lelaki itu mengemukakan lesen perniagaan namun gagal berbuat demikian.

“Apabila penguat kuasa MPK ingin menyita barangan niaga, peniaga terbabit bertindak menghalang sebelum berlakunya pertengkaran mulut antara satu sama lain dan membawa kepada pergaduhan.

“Akibat pergaduhan tersebut, penguat kuasa MPK mengalami kecederaan di bahagian muka,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video berdurasi satu minit enam saat memaparkan peniaga dan beberapa penguat kuasa MPK berebut balang air sebelum tercetusnya pergaduhan dan aksi tumbuk menumbuk antara satu sama lain tular dalam laman sosial Facebook.

Dalam pada itu, Mazelan berkata, pihaknya difahamkan gerai berkenaan telah disita sebelum ini pada Ahad minggu lalu, namun lelaki terbabit berdegil dan meneruskan perniagaan tanpa lesen.

“MPK juga telah menasihati dan memberi amaran kepada semua peniaga termasuk individu terbabit, tetapi tetap meneruskan perniagaan.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam,” ujarnya.