Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, bertindak atas hasil maklumat dan risikan, suspek pertama berusia 22 tahun ditahan pukul 6.45 petang di hadapan sebuah hotel di Jalan Tepi Sungai di sini.

"Penahanan itu membawa kepada tangkapan suspek kedua berusia 27 tahun pada pukul 10 malam di Jalan Gelugor, Taman Kota Jaya dipercayai turut terlibat dalam kes pecah rumah.

"Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan kecurian melibatkan jumlah kerugian mencecah RM30,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon berkata, dalam dua serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan elektronik termasuk telefon bimbit, komputer riba dan kamera yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan beserta barangan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE