Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mereka ditahan sepasukan polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, ketika dihampiri terdapat tiga lelaki di dalam kereta itu, namun seorang penumpang di bahagian hadapan bertindak melarikan diri dan gagal dikesan.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama penumpang warga Indonesia berusia 42 tahun itu menemukan sebuah beg hitam yang mengandungi dadah.

"Dadah yang dirampas itu adalah kira-kira dua kilogram syabu bernilai RM100,000 serta 8,500 biji pil ekstasi yang dibungkus di dalam 13 beg plastik lutsinar bernilai RM255,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, hasil semakan mendapati warga tempatan itu bebas ujian air kencing namun mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala warga Indonesia itu pula positif dadah jenis syabu.

Katanya, kedua-dua mereka kini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Usaha juga sedang giat dilaksanakan bagi mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan," katanya. - UTUSAN ONLINE