Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmad berkata, penahanan itu dilakukan selepas tiga daripada lima lelaki yang menaiki kenderaan terbabas itu diberkas sebelum itu.

Menurutnya, dua lagi anggota kumpulan itu yang menaiki kenderaan tersebut yang melarikan diri masih diburu.

“Hasil soal siasat ke atas seorang suspek, kita berjaya menahan dua lelaki di sekitar Banting, malam tadi.

“Selain itu, dua daripada tiga suspek yang ditahan semalam masih menerima rawatan di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya sama ada kesemua suspek terlibat dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap, Fadzil memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini mereka didapati hanya terlibat dalam kes samun.

“Gerakan memburu dua lagi suspek yang masih bebas giat dilakukan. Kita harap kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 11 pagi semalam, tiga daripada lima penjenayah diberkas ketika cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta curi jenis Honda Accord di Sungai Mas, Banting, Selangor.

Kelima-lima suspek lelaki berusia 16 sehingga 22 tahun itu dikatakan baru sahaja menyamun sebuah rumah di Sungai Pelek, Sepang, dekat sini sebelum terserempak dengan anggota peronda.

Dalam kejadian itu, dua daripada tiga suspek yang ditahan mengalami kecederaan parah di bahagian badan manakala dua lagi melarikan diri selepas kereta curi yang dinaiki mereka terbabas.