Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 37 tahun itu direman sehingga 16 Oktober ini ekoran kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd. Sukri, 26, pada 29 September lalu.

Ini menjadikan seramai tujuh suspek telah direman setakat ini bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah setelah mereka yang memakai baju lokap warna jing­ga tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki trak polis.

Sebelum ini, kedua-dua suspek yang merupakan pengawal di bilik tahanan direman tujuh hari bermula 3 Oktober lalu sehingga semalam mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dan melakukan ugutan jenayah.

Tahanan itu dibuat susulan dua laporan polis yang dibuat dua lagi anggota TLDM masing-masing berusia 30 tahun yang mendakwa telah dicederakan di perut ketika berada di dalam bilik tahanan sama.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 325/506 akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan de­nda atau kedua-duanya.