Difahamkan, setakat ini seorang daripada dua individu terbabit yang juga merupakan Ketua Pemuda sebuah parti sudah memberikan keterangan manakala Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris dijangka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, petang ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada semua pihak yang terbabit dalam insiden tersebut.

“Selain maklumat daripada Syed Saddiq yang mendakwa dicederakan oleh Papagomo, kita turut memanggil individu lain berdasarkan maklumat saksi kejadian.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan berdasarkan segala petunjuk yang ada bagi membolehkan kertas siasatan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata siasatan dijalankan mengikut seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatang kecederaan dan merusuh, selepas mangsa, Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN).

Dalam laporan polis dibuatnya semalam, Syed Saddiq mendakwa dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong yang memakai baju BN semasa berjalan ke tempat letak kereta sekitar jam 11.05 pagi, selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Katanya, mereka ditolak dari semua sudut oleh kumpulan berkenaan sebelum cuba dibantu oleh beberapa pegawai polis dan sukarelawan Unit Amal (PAS).

Pada masa sama, seorang lelaki dilaporkan berlari dan menuju ke arah Syed Saddiq, sebelum menerjah dan terus bertindak ganas mencekak leher Ahli Parlimen Muar itu.

Bagaimanapun lelaki berkenaan kemudian ditolak ke belakang oleh pihak polis. - UTUSAN ONLINE