Sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan kedua-dua lelaki berusia 20 dan 32 tahun itu kira-kira pukul 10.30 malam tadi di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai peralatan sukan itu kini direman selama empat hari bermula hari ini.

"Polis sedang mencari seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri didakwa menjadi mangsa samseng jalanan apabila diserang dan ditumbuk tiga individu dalam kejadian Isnin lalu.

Video rakaman kejadian itu yang berdurasi 1 minit 17 saat tular dalam laman sosial menunjukkan tiga lelaki menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV telah memotong dan memintas kenderaan jenis Proton Exora dipandu mangsa yang berusia 46 tahun.

Suspek kemudian dilihat memberhentikan kenderaan di atas jambatan sebelum menyerang dan menumbuk muka mangsa beberapa kali. - UTUSAN ONLINE