AMRAN DAUD
AMRAN DAUD

Kedua-dua bot de­ngan nama pendaftaran Azam Baru 1 dan Azam Baru 2 pada badan bot berkenaan ditahan Agensi Pe­nguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia) masing-masing pada pukul 12.05 dan 12.28 tengah hari semalam, kira-kira 39.6 kilometer dari tenggara Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, ketika ditahan, kedua-dua kapal tersebut membawa 23 anak kapal termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 19 hingga 55 tahun.

“Semasa melakukan rondaan, bot peronda kami berjaya mengesan dua buah bot nelayan asing dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan kegiatan menangkap ikan secara haram di per­airan negara ini.

“Hasil siasatan lanjut mendapati bot tersebut tidak memiliki lesen menangkap ikan secara sah manakala beberapa awak-awak didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amran, kedua-dua bot dan peralatan menangkap ikan termasuk hasil tangkapan kira-kira empat tan ikan pelbagai jenis dan dua tan ikan baja yang bernilai RM450,000 dirampas.

Tambahnya, kes terbaharu itu adalah yang kesembilan membabitkan nelayan warga asing pada tahun ini dan kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.