Kedua-dua bot tersebut didapati melakukan aktiviti menunda pada jarak kira-kira 12.5 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi di sini pukul 2.45 petang semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, dua bot tersebut yang membawa dua tekong dan lapan awak-awak warga Myanmar dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Kedua-dua bot itu bersama empat pukat dan hasil tangkapan sebanyak 1,200 kilogram (1.2 tan) ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menasihatkan warga nelayan merujuk kepada Jabatan Perikanan berkenaan syarat-syarat lesen perikanan supaya tidak timbul salah faham sekali gus melanggar syarat lesen perikanan.

Katanya, langkah itu juga dapat memastikan sumber ikan dapat dijaga sekali gus tidak ketandusan disebabkan sikap segelintir pengusaha bot nelayan yang tamak serta tidak prihatin dengan keadaan sumber ikan yang semakin berkurangan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri di talian 04-2626146. - UTUSAN ONLINE