Dalam kejadian pertama, suspek lelaki berusia 35 tahun itu diberkas di Kilometer 8 berhampiran simpang masuk Pusat Latihan Khidmat Negara Tasik Meranti Wang Kelian pada pukul 10.15 malam.

Ketika ditahan, suspek yang berasal dari Patani sedang memandu sebuah kereta Proton Saga lama bernombor pendaftaran Kedah dengan muatan sebanyak 574 kilogram (kg.) minyak masak bernilai RM1,435.

Selang sejam kemudian, seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga bapa suspek pertama diberkas di lokasi sama bersama-sama sebuah van yang membawa muatan sebanyak 660 kg. minyak masak dan 400 kg. tepung gandum bernilai RM1,200.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi mengesahkan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesemua barangan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE