Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, mangsa seorang suri rumah berumur 40 tahun mengalami kecederaan pada kepala dan patah tangan kiri akibat terjatuh dari motosikal.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, suspek yang menunggang motosikal jenis Sym berwarna hitam berjaya ditangkap orang awam setengah jam selepas kejadian.

Katanya, difahamkan suspek yang berusia 14 dan 25 tahun terbabit mengekori mangsa sejauh dua kilometer bermula dari Kampung Sri Rebana sebelum tiba di lokasi kejadian.

“Orang awam yang melihat kejadian berjaya menahan kedua-dua suspek dan berlaku pergelutan ketika mereka cuba melarikan diri.

“Suspek yang ditangkap kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini hari ini.

Dzulkifli berkata, siasatan lanjut ke atas suspek mendapati kedua-dua mereka positif Methamphetamine.

Tambahnya, mangsa yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapat rawatan lanjut- UTUSAN ONLINE