Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Norazam Shaari berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek dalam operasi bermula pada 8 hingga 11.45 malam itu, polis turut merampas dipercayai kelengkapan pakaian seragam serta peralatan disyaki digunakan sewaktu melakukan penyamaran.

“Hasil semakan mendapati suspek tangkapan pertama memiliki 25 rekod pelbagai kesalahan lampau serta satu rekod orang yang dikehendaki berkaitan kes narkotik. 

“Sementara suspek tangkapan kedua pula memiliki 16 rekod pelbagai kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kedua-dua suspek berusia 37 dan 43 tahun mengakui terlibat dengan beberapa kes penyamaran sebagai anggota polis di kawasan pentadbiran Ulu Tiram dan Desa Cemerlang serta kegiatan memecah cermin kereta di sekitar Johor Bahru.

Tambahnya, suspek ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Ulu tiram, Inspektor Noor Hamirul Anuar Nordin selepas menerima maklumat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan,  Seksyen 32(2) Akta Senjatapi 1960 serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api 1969," ujarnya.-UTUSAN ONLINE