Lans Koperal Ahmad Ammar Hassan dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Ammar, 30, dan Mohd. Hafiz, 28, didakwa meminta rasuah RM1,000 daripada Mohd. Syauki Mohd. Samki dan Syamin Jamal untuk tidak mengambil tindakan kepada Mohd. Syauki atas kesalahan memandu dengan lesen tamat tempoh dan Syamin yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Mereka didakwa didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2.30 pagi, 20 Mei tahun lalu di hadapan Balai Polis Seberang Jaya.

Kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 16 a (B) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mereka turut didakwa mene­rima suapan RM500 daripada Mohd. Syauki dan Syamin pada pukul 3.50 pagi pada tarikh dan di tempat yang sama. Bagi ke­salahan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 17 (a) akta tersebut.

Hukuman yang diperuntukkan bagi kedua-dua pertuduhan itu adalah penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Amin Yaacub yang mengendalikan pendakwaan mencadang­kan jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Ahmad Ammar bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan menyara anak dan isteri manakala Mohd. Hafiz menanggung ibu bapa di kampung.

Hakim Sitarun Nisa membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 15 Mei ini bagi pengurusan kes.