Dalam kes di Temerloh dekat sini, 19 individu kerugian RM41,800 dipercayai ditipu sebuah syarikat pelancongan yang meminta mangsa membayar serendah RM2,200 untuk mengerjakan umrah manakala selebihnya ditaja seorang individu bergelar ‘Datuk’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 21 November tahun lalu, mangsa ditawarkan menunaikan umrah oleh seorang wanita dari sebuah syarikat pelancongan.

"Wanita itu mendakwa perbelanjaan umrah akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat Datuk berjumlah RM5,000 dan peserta hanya perlu membayar RM2,200 seorang.

‘‘Mangsa kemudian memindahkan bayaran berjumlah RM2,200 ke dalam akaun sebuah syarikat yang diberikan oleh suspek pada 27 November lalu,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, seorang ejen syarikat berkenaan bernama ‘Puan Aisyah’ kemudian memaklumkan tarikh berlepas menunaikan umrah pada 1 Di­sember lalu, namun penerbangan itu dibatalkan dan digantikan dengan tarikh baharu iaitu pada 20 Disember.

‘‘Pada 19 Disember lepas, Puan Aisyah memberitahu peserta yang ingin menarik diri boleh berbuat demikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga ming­gu,’’ ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini wang berkenaan belum dikembalikan dan mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.