Lelaki berusia 36 tahun itu yang tidak dibenarkan bebas de­ngan jaminan bakal didakwa di mahkamah yang sama terhadap baki lebih 400 pertuduhan meliwat anak sulungnya itu, esok.

Pada prosiding hari ini, tertuduh (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) meminta dibicarakan atas satu tuduhan merogol, satu tuduhan penganiayaan seks, 30 tuduhan amang seksual fizikal (sentuhan seksual secara fizikal) dan 150 tuduhan meliwat mangsa.

Bapa kepada tiga orang anak perempuan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini pada tarikh-tarikh berlainan pada sebelah pagi, petang dan malam.

Kesalahan liwat didakwa dilakukan setiap hari, tiga kali sehari sepanjang bulan Mac dan pada 1 Januari lalu dan 19 Januari lalu, waktu yang sama sementara tuduhan amang seksual fizikal didakwa dilakukan di antara 11 Julai dan 20 Julai lalu di rumah berkenaan juga pada waktu pagi, petang dan malam.

Tuduhan penganiayaan seks didakwa dilakukan di antara 1 Ja­nuari lalu dan 21 Julai lalu di tempat yang sama manakala kesalahan rogol pula didakwa dilakukan pada pukul 2 petang, 21 Julai lalu.

Setiap satu tuduhan dibaca secara berturut-turut oleh jurubahasa, Nur Azera Zulkefli pada prosiding yang bermula pukul 2.50 petang dan berakhir kira-kira pukul 6 petang.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan permohonan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin untuk menangguhkan prosiding hingga esok kerana terdapat sejumlah pertuduhan yang belum didaftarkan serta permohonan pendakwaan agar tertuduh dilarang diikat jamin.

Sebelum itu, Nordalina berhujah agar mahkamah tidak membebaskan tertuduh dengan jaminan kerana dikhuatiri lelaki itu akan melarikan diri dan tidak hadir pada prosiding perbicaraan.

Hujah beliau, pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah serius melibatkan anak kandungnya yang masih di bawah umur dan lelaki itu ditangkap di rumah yang sama didiami mangsa.

“Jika jaminan dibenarkan, dikhuatiri tertuduh akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan terutama mangsa dan ibu mangsa kerana laporan polis dibuat oleh wanita tersebut,’’ hujahnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibebaskan dengan jaminan kerana perlu menyara ibu bapa di kampung manakala bapanya menjalani rawatan dialisis selain mempunyai hutang kenderaan untuk dibayar dengan pendapatan yang tidak menentu.

Akhbar melaporkan dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian dengan isteri. Dua adik perempuan dipelihara oleh ibu mereka.