Menurut sumber, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek telah membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi pada tahun 2015 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

“Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 60-an daripada syarikat berasingan ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

“Suspek terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan. Siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan penjawat awam yang terlibat di sebalik tuntutan ini,” demikian menurut SPRM dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman. - UTUSAN ONLINE