Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, sebuah kapal tangki tanpa muatan ditahan kapal ronda Maritim Malaysia dalam Op Khas Pagar Laut 1/2019 yang bermula pada 26 Januari lalu sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Kapal tersebut ditahan setelah pemeriksaan mendapati anak kapalnya gagal mengemukakan kebenaran bersauh daripada pihak Pengarah Laut Malaysia.

"Kapal tangki berdaftar di Port Kelang itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 26 hingga 66 tahun dan kesemua mereka warganegara Indonesia.

"Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, seorang kru kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, Zulfadli berkata, dua buah kapal tangki ditahan pada 1 dan 4 Februari lalu juga di sekitar perairan Pengerang.

Sehingga kini katanya, empat buah kapal ditahan atas kesalahan yang sama sepanjang Op Khas Pagar Laut 1/2019 di bawah seliaan ZMTS.

Piahknya sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara. - UTUSAN ONLINE