Dalam serbuan yang bermula kira-kira pukul 11 malam sehingga 4 pagi itu, kesemua PATI berusia antara 20 sehingga 30 tahun yang terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga Myanmar, Pakistan dan Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kesemua yang ditahan adalah hasil pemeriksaan terhadap 135 warga asing yang mendiami beberapa rumah di kawasan tersebut.

Ujarnya, operasi yang dijalankan adalah susulan laporan yang diterima pihaknya mengenai kebanjiran warga asing di kawasan tersebut.

“Melalui operasi ini, kita dapat membendung kegiatan jenayah lebih-lebih lagi melibatkan warga asing di kawasan sekitar,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sukri, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. - UTUSAN ONLINE