Mohd. Khalil Kader Mohd.

Itulah yang berlaku kepada 14 kumpulan yang aktif me­lakukan kegiatan samun dan ragut di Wilayah Pembangunan Iskandar di sini dan seramai 571 suspek berjaya ditahan.

Mereka ditahan dalam Ops Bersepadu Jenayah Jalanan yang dijalankan mulai 30 Ogos hingga Selasa lalu melibatkan kawasan Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam, Iskandar Puteri, Kulai, Batu Pahat dan Muar.

Ketua Polis nege­ri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, mereka yang ditangkap sepanjang operasi dijalankan selama dua minggu itu disiasat atas pelbagai ke­salahan.

"Tindakan akan diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Polis akan meneruskan usaha untuk memburu rakan mereka yang masih bebas dan telah dikenal pasti.

"Menerusi operasi ini, kita merampas pelbagai barang kes antaranya dua batang besi, enam bilah parang dan peralatan mencuri kenderaan selain merampas pelbagai jenis dadah jenis Eramin 5, syabu, ganja, heroin, ketamin dan ekstasi," katanya selepas menyem­purnakan Perasmian Larian Amal Harmoni dan Karnival 2017 di Sutera Square, Sutera Mall di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, polis turut merampas pelbagai barang kes antaranya sembilan buah kereta, empat buah sport rim, dua unit komputer riba, 10 buah telefon bimbit, empat utas jam tangan berjenama dan dua kamera digital.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi, seramai 19,155 individu serta 13,519 kenderaan diperiksa dan sebanyak 1,695 saman dikeluarkan atas pelbagai ke­salahan.

"Kerjasama daripada masya­rakat memainkan peranan penting dalam menjayakan operasi ini bagi memerangi jenayah jalanan. Polis berjaya menangkap penjenayah sebaik sahaja dia melakukan kegiatan samun dan ini adalah hasil maklumat yang tepat dan pantas orang awam.

"Melihatkan kejayaan Operasi Bersepadu Jenayah Jalanan ini dalam mengurangkan kadar jenayah, kita berhasrat untuk memperluaskan operasi ke daerah lain bagi peringkat seterusnya," katanya.