Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmond Bajah berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Dalam serbuan bermula pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari di Pot Sawit Blok 3, Felda Air Tawar 1 itu, polis menahan seramai 14 individu.

“Turut ditemukan dadah jenis heroin seberat 3.98 gram dan syabu 0.01 gram, berserta sebuah motosikal dipercayai dicuri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya. - UTUSAN ONLINE