Dalam operasi kira-kira pukul 3 petang itu, kira-kira 350 warga asing antaranya warga Myanmar, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang bekerja di Plaza Imbi dan Plaza Low Yat, di sini diperiksa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali berkata, operasi itu adalah salah satu langkah untuk membendung PATI yang digajikan oleh majikan di premis-premis perniagaan di negara ini.

“Kita dapati pekerja warga asing ini ada yang memang mempunyai pas pekerja yang sah namun telah tamat tempoh atau tidak bekerja mengikut industri yang ditetapkan.

“Selain itu, ada juga warga asing yang datang ke negara ini menggunakan pas pelajar namun mereka ‘berkampung’ di sini untuk bekerja. Ini sudah menjadi kesalahan menyalahgunakan pas dan kita perlu ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE