Operasi yang bermula pukul 3 petang itu disertai seramai 136 penguatkuasa dari Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi itu, sebanyak 536 individu telah diperiksa di kawasan-kawasan panas serta menjadi tumpuan warga asing ketika cuti umum musim perayaan.

“Daripada 536 orang yang diperiksa, kita menahan 123 PATI yang terdiri daripada 68 warga Bangladesh, Indonesia (36), Myanmar (7), Nepal (9) dan Pakistan, Yemen serta India, masing-masing seorang.

“Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 45 tahun dan kini ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menuurut Khairul Dzaimee, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, salahguna pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

Katanya, sejak awal tahun ini hingga 31 Januari lalu, pihaknya  menjalankan sebanyak 1,353 operasi penguatkuasaan dan menahan 5,091 PATI serta 83 majikan.

“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan setiap hari untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kita mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI diminta tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE