Kesemua mereka ditahan terdiri daripada dua pegawai polis berpangkat Inspektor yang juga merupakan ketua balai polis di negeri terbabit selain tiga anggota berpangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.

Turut ditahan dalam operasi ialah empat anggota Bomba dan Penyelamat serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.

Difahamkan, beberapa tindakan susulan akan diambil untuk mengesan beberapa pe­ngu­at­­ kuasa melibatkan pelbagai agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan memantau operasi pusat urut termasuk hiburan.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 26 tahun dan 53 tahun, ditahan serentak kira-kira pukul 9 pagi ini di tiga lokasi di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan.

Katanya, hasil maklumat dan risikan selama hampir tiga bulan lalu, kesemua suspek didapati telah menerima wang rasuah RM300 hingga RM10,00 secara bulanan daripada pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

“Antara kesalahan yang dilin­du­ngi termasuklah tidak memiliki lesen, menggajikan pendatang­ tanpa izin dan juga melanggar aspek keselamatan kebakaran selain menggalakkan perkembangan aktiviti-aktiviti tidak bermoral dalam pusat-pusat urut haram,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, siasatan awal mendapati terdapat pusat urut haram terbabit menawarkan ke­giatan pelacuran secara terbuka tanpa rasa takut kerana mereka mendapat perlindungan daripada anggota penguat kuasa yang disogok.

“Hasil tangkapan ini, SPRM telah merampas wang tunai RM25,000 daripada salah seorang Inspektor yang ditemukan di rumah dan pejabatnya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut yang akan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan siasat Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM.

“Kesemua suspek tersebut dijangka akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk direman,” ujarnya.