Menurut wanita berusia 60-an yang enggan dikenali itu, dia yang kebetulan menjenguk dari tingkap rumahnya ternampak tiga lelaki bersenjatakan kapak dan tukul menyerbu dua pekerja syarikat terbabit ketika membawa beg berisi emas yang ingin dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Jelasnya, salah seorang pe­rompak terbabit yang menutup mulut menggunakan sapu tangan dan bertopi pada mulanya menarik pemandu kenderaan itu sebelum dua lagi rakannya menyerbu seorang lagi pekerja yang membawa beg.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan saya ternampak tiga lelaki keluar dari kereta jenis Pe­rodua Bezza yang menunggu di hadapan syarikat terbabit sebe­lum­ menyerbu ke arah pekerja itu.

“Mereka kemudiannya mela­rikan diri dengan kereta itu yang dipandu seorang lagi ra­kan­ yang menunggu di dalam kereta sebelum terdengar bebe­rapa das tembakan, dipercayai dilepaskan pengawal keselamatan syarikat terbabit,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 9.30 pagi itu, empat perompak terbabit yang bersenjatakan kapak dan tukul nekad melarikan sejumlah emas yang dianggarkan seberat 11 kilogram daripada pekerja syarikat itu.

Menurut sumber, emas itu yang diproses dipercayai ingin dihantar ke kedai emas di Kuala Lumpur.

“Pekerja terbabit belum sempat memasuki ke dalam kenderaan apabila tiga perompak menyerbu ke arah mereka dan melarikan beg berisi emas yang dianggarkan bernilai hampir RM1.9 juta itu.

“Kekecohan itu didengari pe­ngawal keselamatan syarikat itu yang kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang dinaiki penjenayah berkenaan,” ujarnya.