Seorang pegawai Jabatan Imigresen Sarawak menunjukkan sebahagian
Seorang pegawai Jabatan Imigresen Sarawak menunjukkan sebahagian wang tunai RM10,000 yang dirampas daripada salah seorang pegawai jabatan itu yang ditahan SPRM di Kuching, Sarawak, semalam.

Itu kegiatan 11 pegawai dan anggota Imigresen Sarawak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai telah mene­rima wang rasuah supaya tidak mengambil tindakan ke atas warga asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah di negeri ini.

Tangkapan kira-kira pukul 1.30 petang sehingga 10.03 malam ini dilakukan di empat lokasi iaitu Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Kuching, Pejabat Imigresen Pending dan pusat tahanan depot Semuja, Serian.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada enam wanita dan lima pegawai lelaki yang berusia antara 33 dan 53 tahun.

Menurut sumber, tangkapan tersebut merupakan hasil maklumat risikan diperoleh menerusi operasi khas, Ops Batas, yang dilancarkan sebelum ini khusus bagi memerangi kegiatan melindungi PATI, termasuk warga asing yang bekerja secara haram di negeri ini.

Katanya, penguat kuasa yang diamanahkan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sebaliknya telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan de­ngan mengutip wang rasuah bagi melindungi PATI.

“Hasil tangkapan ini, kita juga telah merampas wang tunai kira-kira RM10,000 daripada salah seorang suspek yang ditahan.

“Kesemua suspek tersebut akan dibawa ke mahkamah Kuching untuk direman esok,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan ditahan berhubung kes tersebut.

Tambah beliau, kemasukan pekerja asing secara haram itu bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negeri ini.