Mohd. Nadzri Hussain
MOHD. NADZRI HUSSAIN

Itu penderitaan yang terpaksa dilalui sekumpulan 11 kanak-kanak warga Rohingya dipercayai sejak tiga bulan lalu. Kesemua pelarian kanak-kanak itu dipaksa mengemis oleh penjaga mereka yang juga rakyat Ro­hingya.

Dengan berbekalkan wajah sedih untuk meraih simpati, tisu dan surah Yasin kanak-kanak itu mampu memperoleh antara RM50 hingga RM90 seorang sehari.

Bagaimanapun pende­ritaan mereka berakhir apabila mereka diselamatkan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) dalam Op SOM atau Smuggling of Migran di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Bukit Bintang di sini antara pukul 8 malam hingga 10.30 ma­lam tadi.

Lebih me­nya­yat hati, kesemua kanak-kanak ber­usia antara dua tahun hingga 16 tahun yang kelaparan menangis apabila dihidangkan makanan oleh pasukan STAGG ketika tiba di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Menurut seorang daripada kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai Akop, 5, rutin hariannya bermula pada pukul 5 petang dengan menaiki bas dari Ampang bersama seorang lagi rakannya bagi meminta sedekah daripada orang ramai.

Ujarnya, dia akan pergi ke lokasi ditetapkan penjaganya yang akan memantaunya bagi mendapatkan wang daripada orang ramai di KLCC dan Sogo dari petang sehingga lewat malam.

“Habis kerja pukul 11 malam, saya akan balik ke rumah dan baru dapat makan. Hari-hari saya balik rumah pukul 11 malam naik bas wang kutipan akan diberi pada ‘bapa’ (penjaga) sebelum dapat makan pada pukul 1 pagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain memberitahu, operasi itu dilakukan bagi mengesan individu yang terlibat dalam sindiket pengemis.

Jelasnya, selain 11 kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi yang bermula pada pukul 6 petang hingga lewat malam tadi, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan empat wanita yang menjadi penjaga kanak-kanak tersebut.

“Kegiatan ini sudah dikesan pihak polis sejak tiga bulan lalu di dua lokasi di Bukit Bintang dan KLCC. Penjaga akan duduk di kawasan berhampiran sementara menunggu kanak-kanak ini meminta sedekah dengan mensasarkan pelancong dan pengunjung,” jelasnya.

Mohd. Nadzri menjelaskan, pihaknya turut merampas sembilan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), lapan unit telefon, 32 surah Yasin, 20 bungkus tisu kecil serta wang tunai berjumlah RM532.