Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, tangkapan yang turut melibatkan penjawat awam dan pelajar itu dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Katanya, seramai 15 orang telah ditangkap atas kesalahan mengedar dadah yang disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) ADB 1952 manakala 47 orang lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Selain itu, seramai 40 orang telah ditangkap di bawah Seksyen 3 Akta Pemulihan Dadah (APD) 1983 manakala lima yang lain pula ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Menerusi kesemua tangkapan dan operasi yang dijalankan itu, kita telah merampas dadah jenis heroin seberat 78.55 gram (g) bernilai RM1,800, 16g syabu (RM1,605), 0.60g ganja (RM50), 200 kilogram daun ketum (RM4,000) dan 1.6 liter air ketum berjumlah RM15. Kesemua rampasan ini bernilai RM7,470," katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua individu tersebut berjaya ditangkap hasil tindakan proaktif Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam menangani kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

"Bagi memastikan kegiatan negatif itu dapat terus dikurangkan, orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. - UTUSAN ONLINE