AZMI ALIA

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, bagaimanapun, jumlah tangkapan tidak bermakna rasuah benar-benar dapat dibanteras secara keseluruhannya.

“Apakah tangka­pan yang ada itu satu perkara yang menun­jukkan rasuah benar-benar dapat dibanteras dalam Johor? Saya rasa tidak, kerana mungkin ada pengganti kepada 100 orang ini.

“Ini kerana mereka akan membuatkan perkara sama kerana rasuah sangat berkait dengan peluang dan ruang. Aspirasi ialah harus menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara,” katanya dalam Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Pinewood Studio di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Azmi bersyukur kerana usaha pihaknya memerangi rasuah di Johor mendapat sokongan dan bantuan penuh kerajaan negeri.

Menurut beliau, isu berkenaan perlu dipandang serius dan rasuah seharusnya diletakkan sebagai musuh utama negara kerana menjadi punca kepada kegiatan jenayah lain.

Sementara itu, Ali dalam sidang akhbar menyifatkan gejala ra­suah melibatkan ka­kitangan awam di negeri ini tidak serius, masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Katanya, setakat ini, belum ada kes-kes yang serius namun pihaknya tetap memantau perkembangan tersebut dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Azmi Rohani berkata, kerajaan perlu meletakkan bilangan kes di mahkamah dan individu yang ditahan di pusat tahanan sebagai indikator bagi me­ngukur tahap kemajuan negara ini.

“Dalam kita berusaha capai TN50 untuk semua rakyat, saya rasa pertamanya kita kena kembali semula pada diri kita bahawa kita melihat kepada indikator dalam penjara, dalam rumah sakit atau pusat tahanan pendatang haram.

“Kalau masih ramai rakyat kita atau rakyat asing berada di situ dan peningkatan bilangan kes mahkamah bermakna pada masa itu kita masih belum mencapai sebagai negara maju yang kita impikan,” katanya.