BALIK PULAU - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang merampas sebanyak 100 bungkus air ketum selepas menyerbu sebuah pondok nelayan di tepi pantai Kampung Nelayan Teluk Kumbar, di sini semalam.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam operasi kira-kira pukul 4.45 petang itu, seorang lalaki berusia 39 tahun yang berada di pondok berkenaan turut ditahan.
Tambah beliau, pemeriksaan di dalam beg silang lelaki berkenaan menemukan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.88 gram.
"Hasil pemeriksaan lanjut di pondok itu, kita menemukan satu tong berwarna kuning yang mengandungi 100 paket plastik lutsinar berikat getah disyaki cecair mitragynine (air ketum)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dimin berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM4,234 daripada suspek.
Menurutnya, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini bagi siasatan lanjut megikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE