Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, pihaknya telah menerima laporan kes itu dan Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat.

“Polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu. Ketua Polis Negeri Sembilan akan mengeluarkan kenyataan,” katanya di sini hari ini.

Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam, 10 lelaki bertopeng menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta memasuki premis yang menempatkan dadah yang dirampas JKDM.

Suspek mengikat dua pengawal keselamatan sebelum melarikan 80 kotak dipercayai mengandungi dadah yang disimpan di dalam salah sebuah kontena. - UTUSAN ONLINE