Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kertas siasatan dibuka berhubung insiden tersebut selepas ibu mangsa membuat satu laporan polis semalam.

Katanya, ibu bapa kesemua suspek di dalam video tersebut akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Berkaitan tular video di Kunak, untuk makluman ibunya telah buat laporan polis tengah hari semalam.

"Kita akan memanggil kesemua yang terlibat dalam masa terdekat dan ibu bapa serta guru-guru sekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Video berdurasi seminit 39 saat itu yang tular sejak semalam menyaksikan sekurang-kurangnya 10 pelajar perempuan membelasah seorang rakan mereka dipercayai akibat berebut lelaki.

Melalui video berkenaan, mangsa dilihat merayu agar tidak disakiti, namun tidak diendahkan apabila suspek beramai-ramai menumbuk, menendang dan menarik rambutnya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Yenn Haniifa telah menyebarkan dua keping gambar kesemua sepuluh pelajar perempuan itu yang dipercayai diambil selepas membelasah mangsa.

Salah satu gambar berkenaan menunjukkan sembilan daripada mereka menunjukkan isyarat lucah 'jari tengah' ke arah kamera. - UTUSAN ONLINE