Seramai 10 daripada 13 lanun warga Indonesia berjaya ditahan di atas bot mereka manakala kira-kira 2.2 juta liter diesel bernilai hampir RM7 juta yang dibawa kapal dagang MT MGT1 dengan 14 kru dapat diselamatkan.

Susulan itu Maritim Malaysia juga menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an yang dipercayai dalang utama kepada rompakan itu di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor, tengah hari tadi Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, Wilayah Maritim Timur menerima maklumat dari sistem identifikasi auto (AIS) mengenai kehilangan sebuah kapal dagang Thailand pada pukul 5 petang semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat maka pasukan tindakan khas (PTK) yang terdiri daripada tujuh orang diatur gerak ke lokasi terakhir kapal dikesan menggunakan helikopter Agusta Westland 139 (AW139).

“Kapal itu berjaya dikesan pukul 2.05 pagi di 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun dan berdasarkan maklumat anggota di lapangan, terdapat sebuah bot pancung dinaiki tiga individu dan sebuah lagi kapal tanpa identiti berada berhampiran kapal dagang terbabit.

“PTK turut melaporkan terdapat 10 suspek berusia antara 40 hingga 50 tahun berada dalam kapal sebelum beberapa das tembakan amaran dilepaskan , namun tiga suspek menaiki bot pancung bertindak melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini petang ini.

Menurut Zulkifli, ketika ditahan lanun berkenaan sudah memindahkan sebahagian diesel daripada MT MGT1 ke kapal mereka.

Sehubungan itu, pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Segantang untuk menjalankan operasi mengesan bot pancung yang dinaiki tiga lanun terbabit namun sehingga kini suspek gagal dikesan.

“Kapal tangki MT MGT 1 terbabit bersama sebuah lagi kapal tanpa identiti itu kemudiannya diiringi oleh KM Langkawi ke Jeti Daerah Maritim 9 (DM9) sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan dan Forensik APMM untuk siasatan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE