Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga hari ini pecahan jumlah yang ditahan adalah 38 lelaki berbangsa Melayu, 18 India dan dua Cina.

“Polis Diraja Malaysia juga telah menerima lebih 5,000 aduan di seluruh negara berkait kejadian ini dan semuanya sedang dalam perhatian mereka.

“Berhubung kes anggota bomba yang cedera, seorang saksi telah tampil menyalurkan maklumat, namun belum ada tangkapan dibuat, kita minta lebih banyak saksi salurkan maklumat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kuil berkenaan di sini sebentar tadi.

Ujarnya, polis termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) masih di tempatkan di kuil tersebut 24 jam sehari walaupun keadaan sudah bertambah baik.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai tindakan terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, ia terserah kepada pihak polis.

“Sekiranya ada asas untuk menahan beliau, tidak kira siapa pun dia... menteri ke, orang biasa ke, saya tak payah keluar arahan.

“Kalau dia dah keluar kenyataan kita tengoklah apa yang disebut, kenyataan itu betul tak betul, berbaur perkauman ke, hasutan ke, macam-macam undang-undang yang ada maka pihak polis boleh bertindak mengikut keperluan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE