Itu perancangan diatur 10 individu daripada dua sel baharu dikenali kumpulan Asoib dan Ar Rayah Member yang ditahan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang pada 11 sehingga 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selain merancang melancarkan sera­ngan, kesemua individu terbabit dikatakan mahu menyertai kumpulan pengganas di sebuah negara Asia Barat.

Ujar beliau, dalam tangkapan pertama membabitkan kumpulan Asoib atau dikenali sebagai ‘Pemuda dari Timur’ itu, lima lelaki ditahan di sekitar Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Jelas beliau, kumpulan itu merancang bergabung dengan satu lagi kumpulan dari negara Asia Barat sebelum menyerang sebuah negara bersempadanan dengan negara tersebut.

“Hasil siasatan lanjut, seorang daripada anggota Asoib berlepas ke negara berkenaan bagi membuat persiapan serta menyelaraskan operasi serangan. Selain itu mereka juga akan dibekalkan pelbagai senjata sejurus tiba di sana.

“Kumpulan itu juga memberi tafsiran salah terhadap hadis dengan mempercayai bahawa Imam Mahdi akan muncul di Mekah tahun ini seterusnya akan bergabung dengan tentera Iman Mahdi menyerang negara sekular dan menentang dajjal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi memberitahu, dalam tangkapan kedua pula, seramai lima lelaki dan seorang daripadanya merupakan warga asing dari kumpulan Ar Rayar Member ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Tambah beliau, suspek warga asing yang bekerja sebagai peniaga restoran itu merupakan suspek utama dengan merancang melancarkan serangan bom asap di tempat-tempat maksiat sekitar Melaka.

“Susulan penahanan itu polis menahan empat lagi suspek di Kelantan dan Pulau Pinang. Lima bom asap yang siap diproses dirampas dan dipercayai digunakan untuk menimbulkan rasa panik serta kegusaran kepada pengunjung pusat hiburan dengan harapan keadaan terbabit boleh mendatangkan kecederaan kepada orang awam,” ujarnya.

Menurut Mohamad Fuzi, hasil semakan lanjut mendapati, suspek utama terbabit turut menganggotai kumpulan pengganas dari semua negara Asia Tenggara yang bertindak mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut.

“Suspek juga berperanan mempengaruhi anggota kumpulan lain untuk menyumbang dana bagi kumpulan Ar Rayah Member membeli senjata api dan peluru.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia 18 tahun sehingga 53 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.