Kesemua suspek berusia 39 sehingga 53 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi bermula 11 Sehingga 31 Ogos lalu di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada dua sel yang bertindak merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di sebuah negara Asia Barat.

Ujarnya, selain itu, dua sel ini juga merancang melancarkan serangan di tempat maksiat di Melaka dan Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE