Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia antara 15 hingga 17 tahun selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Mohd. Hairol Jemain dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Nor Rasyidah M. Nadzri ketika ditemui pemberita berkata, seorang tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan, dua tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan dan tujuh lagi berdepan satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, ke­semua remaja tersebut yang diwakili peguam M. Kathan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) didakwa merogol mangsa di sebuah rumah kosong dan beberapa lokasi lain di sekitar Ka­mun­­ting dekat sini antara pukul 9.30 pagi, 18 September dan pukul 3.30 petang, 25 September lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

Mohd. Hairol membenarkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM3,500 untuk tujuh tertuduh yang didakwa dengan satu pertuduhan, RM4,000 kepada dua remaja yang menghadapi dua pertuduhan dan RM6,000 untuk seorang tertuduh yang didakwa atas tiga pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat jaminan terhadap kesemua tertuduh agar tidak mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang tempoh prosiding berlangsung sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 28 November ini untuk sebutan kes bagi membolehkan kesemua tertuduh melantik peguam dan bagi mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut laporan akhbar, sembilan remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dalam tiga kejadian berasingan di Kamunting dan Aulong pada 28 September lalu.

Empat daripada suspek masih bersekolah manakala bakinya sudah berhenti sekolah.