Yusuf Sidani

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa rakyat tempatan, Yusuf Sidani, 45, bekerja sebagai pembantu projek pembinaan maut di tempat kejadian selepas ditikam di dada.

Dua lagi rakan mangsa yang berusia 20 tahun berasal dari Indonesia cedera di belakang pinggang manakala seorang lagi hampir putus jari.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai tercetus apabila ketiga-tiga mangsa menegur suspek, seorang lelaki warga Indonesia yang berbau arak menyebabkannya mengamuk.

Katanya, sebelum kejadian itu, ketiga-tiga mangsa sedang minum dan tiba-tiba didatangi suspek sambil menghayun sebilah pisau.

“Suspek kemudiannya bertindak memarahi mangsa dengan kata-kata kesat dan bertanyakan adakah tidak berpuas hati dengan keadaan dirinya yang sedang mabuk ketika itu.

“Ketiga-tiga mangsa meminta suspek bertenang dan menyuruh lelaki itu balik disebabkan keadaannya yang sudah terlalu mabuk ketika itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, tambahnya, suspek terus mengamuk lalu bertindak agresif dengan menikam dada Yusuf dan mencederakan dua lagi rakan mangsa.

“Suspek kemudiannya melarikan diri sejurus menikam dan mencederakan mangsa-mangsanya. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat memberitahu, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Habis