Ingatan itu ditegaskan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi bagi mengelakkan kejadian dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mati dihempap pokok ketika sedang berkhemah di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang semalam kembali berulang.

"Kadang-kadang bencana ini satu perkara yang semua orang tidak boleh dijangka. Namun, langkah pencegahan harus dan mesti diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Program Bakti Siswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di Parit 10 Ban Kanal, Pasir Panjang, di sini hari ini.

Ditanya sama ada UiTM perlu meneliti semula modul aktiviti luar membabitkan para pelajar ekoran kejadian itu, Budiman bagaimanapun ia bukanlah perkara yang harus diberikan keutamaan.

"Cuma apa yang lebih penting, pihak UiTM perlu perketatkan kawalan keselamatan, selain pelajar yang mengikuti program ini dilindungi insurans," jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan supaya setiap IPT sulaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab sebelum memulakan sebarang aktiviti luar.

"Sepatutnya perkara ini mesti dimaklumkan kepada pihak polis, Jabatan Hutan dan pihak yang terlibat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, dua pelajar UiTM Puncak Alam iaitu, Noorain Mohtar, 23, dan Muhammad Kamil Md. Sukri, 22, maut dihempap pokok yang tumbang manakala enam lagi cedera termasuk seorang yang parah ketika menjalani aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun berkenaan.

Seramai 140 pelajar dan empat pensyarah dilaporkan menyertai aktiviti perkhemahan itu. - UTUSAN ONLINE