Pengarah YTL Communication Sdn. Bhd., Shahirul Amran berkata, FrogPlay merupakan aplikasi pengayaan di dalam Frog VLE berkonsepkan Pembelajaran Gamifikasi yang secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi pelajar.

"Pelajar boleh bermain permainan yang menarik dan menyeronokkan di dalam FrogPlay sebagai contoh kuiz-kuiz yang disediakan oleh guru-guru dan jika berjaya mereka boleh 'unlock' untuk ke permainan seterusnya.

"Persekitaran pembelajaran yang berkonsepkan 'fun-learning' ini sangat mudah, menyeronokkan dan menarik pelajar untuk mempelajari satu-satu subjek," katanya kepada Utusan Malaysia dalam Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Shahirul berkata, setakat ini 10,000 sekolah di seluruh negara menggunakan Frog VLE sebagai platform pembelajaran kepada pelajar mereka.

"Melalui penambahbaikan Frog VLE iaitu FrogPlay ini, pelajar tidak lagi mendengar dan menerima maklumat maklumat daripada guru secara terus tetapi mereka perlu merancang, dan bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri.

"Aplikasi ini merupakan sebuah projek 1BestariNet hasil inisiatif Kementerian Pendidikan dengan kerjasama YTL Communication," ujarnya.

Menurut beliau, inisiatif kerajaan itu bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi akses internet mudah alih 4G dan VLE di semua sekolah seluruh negara. - UTUSAN ONLINE