Polis buka dua kertas siasatan terhadap Ronnie Liu - Utusan Malaysia

Polis buka dua kertas siasatan terhadap Ronnie Liu

RONNIE Liu (dua dari kiri) turut berada di pekarangan Mahkamah Raub semasa proses pihak berkuasa mendapatkan perintah tahanan reman 18 individu dipercayai pekebun haram yang menanam Musang King di Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu akan disiasat setelah dua kertas siasatan dibuka terhadapnya susulan kekecohan yang berlaku di pekarangan Mahkamah Raub di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPPPB 2021.

“Dia dibenarkan rentas negeri kerana merupakan ahli politik, apa pun kita buka juga siasatan di bawah Peraturan 17 PPPPPB kerana walaupun dia boleh rentas negeri tetapi bergantung prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi kita buka juga siasatan dan (siasatan) sedang giat dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Hari ini proses permohonan reman 18 pekebun durian Musang King di pekarangan Mahkamah Raub kecoh selepas berlaku pertengkaran antara pihak berkuasa dan beberapa pemimpin politik.

Pertengkaran mula hangat selepas seorang anggota polis meminta orang ramai termasuk pemimpin politik keluar daripada kawasan mahkamah selepas individu yang direman dibawa keluar.

Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack serta Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji dilihat tidak berpuas hati sehingga berlaku sedikit provokasi terhadap anggota polis yang memberikan arahan supaya keluar dari kawasan itu.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian Musang King direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka ditahan semalam selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya