Tubuh jawatan kuasa rayu Agong tamatkan darurat - Utusan Malaysia

Tubuh jawatan kuasa rayu Agong tamatkan darurat

SEBAHAGIAN Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat mengangkat poster tanda pagar #TamatDarurat di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan Jawatan Kuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan darurat yang berakhir 1 Ogos depan.

Jawatankuasa berkenaan berperanan untuk mengumpul tandatangan daripada orang ramai dijangka sehingga Ramadhan pada 13 April ini sebelum diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusinya merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, jawatankuasa itu sekali gus melancarkan laman sesawang dinamakan #TamatDarurat sebagai kempen untuk memudahkan pihak yang mahu darurat ditamatkan lebih awal dengan menandatangani petisyen secara atas talian.

“Jangan rasa terancam. Kita kena suarakan. Kalau di Myanmar lagi dahsyat sehingga rakyat sanggup turun padang buat bantahan. Di sini kita tidak suruh turun. Hanya tanda tangan petisyen dalam laman web sahaja untuk menzahirkan kepada Agong bahawa sebenarnya tindakan Muhyiddin ditolak oleh rakyat.

“Setakat ini kita telah memperoleh beberapa ratus tandatangan dari individu-individu dan 100 lebih NGO. Sebagai payung negara, Seri Paduka perlu dimaklumkan akan bantahan rakyat jelata terhadap tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam soal ini,” katanya semasa pelancaran laman sesawang berkenaan di ibu negara hari ini.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai seramai 23 ahli politik pembangkang, Datuk Marzuki Yahya (Pejuang); Ahli Parlimen Sepang, Mohammad Hanipa Maidin (Amanah); Senator, Aiman Athirah Sabu (Amanah), Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan); Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (DAP); Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PKR); Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (PKR); Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (PKR) dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (PKR).

Antara lain, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai beberapa profesional dan aktivis iaitu Jefri Md. Nor; Norman Goh; Khairi Zulfadhli; Mior Nor Haidir Mutalib Uthman; V. Raidu; Siti Rahayu Baharin; Muhammad Rafique; Tharmelinggem Pillai; Dr. Thanussha Francis Xavier; Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang; DS Ustadz Abdul Ghani Samsudin dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan tiga wakil rakyat pembangkang, Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah); Ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak, Abdul Aziz Bari (DAP) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Mahkamah memutuskan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (1) dan 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan berhubung pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman kerana Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan berperlembagaan.

Ditanya tentang penglibatan anggota kerajaan untuk menganggotai jawatan kuasa berkenaan, Khalid berkata, beliau terbuka menerima keahlian dari ahli politik daripada pelbagai parti termasuklah parti-parti politik kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Partisan Sarawak (GPS), UMNO dan Pas.

“Itu pun kalau mereka ini (kerajaan) sayangkan negara kita. Namun, setakat ini tiada wakil daripada kerajaan,” katanya sinis.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan jawatan kuasa berkenaan bukan mewakili blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) sebaliknya bertindak sebagai individu dari pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, Khalid tidak yakin bahawa darurat akan berakhir seperti yang dijadualkan pada 1 Ogos ini sehinggalah Perdana Menteri berpuas hati mempunyai sokongan setelah didakwa cuba membeli wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat politiknya berkekalan.

“Usaha nak bubar Parlimen dan membeli wakil rakyat adalah dua tindakan yang bercanggah kalau ikut logik. Jika anda mahu bubarkan Parlimen, kenapa perlu membeli wakil rakyat atau menambah wakil rakyat untuk menyokong anda?,” soalnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya