Golongan ibu tunggal ini bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan tetapi yang lebih penting, mereka diberikan bantuan dalam bidang kemahiran supaya ia dapat menjana pendapatan golongan ini tanpa meneruskan sikap kebertanggunan.

Baru-baru ini, Yayasan MyPrihatin komited untuk membantu ibu tunggal menjana pendapatan tambahan dengan melancarkan Program Jana Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin) di Permatang Pauh.

Projek tersebut dibiayai oleh Prudential BSN Takaful Berhad melalui badan amal dan bukan berasaskan keuntungan.

Ini kerana pihak PruBSN Prihatin ikhlas dalam membantu golongan itu melalui kursus kemahiran teknikal dan keusahawanan.

“Peserta akan dilatih bagi tujuan pengeluaran produk dalam bidang jahitan, tekstil dan fesyen.

“Yayasan MyPrihatin juga bekerjasama dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menerusi Projek Wanita Permatang Pauh (PPWP) dan jenama fesyen Heliza Guzelhive,” kata yayasan itu dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah kenyataan itu, PPWP akan memberikan sokongan dengan mengenal pasti ibu-ibu tunggal yang layak manakala produk-produk yang dihasilkan oleh ibu-ibu tunggal terlibat akan dipasarkan melalui jenama Heliza Guzelhive.

Menurut kenyataan itu lagi, sekumpulan peserta telah dipilih untuk menyertai fasa pertama projek berkenaan yang akan berlangsung selama setahun di Pusat Latihan PPWP di Permatang Pauh.

“Peserta juga berpeluang mendalami kemahiran keusahawanan, pemasaran produk konvensional dan secara online serta pengurusan kewangan perniagaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE