Pengarahnya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peruntukan itu disalurkan dalam bentuk menyumbang barangan keperluan sekolah, yuran kelas tambahan, yuran kelas komputer dan bantuan makanan percuma.

“Bantuan khas ini diagihkan secara menyeluruh di setiap ne­geri terutama kepada pelajar cemerlang dan memerlukan, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Setiap tahun, kami membantu lebih daripada 3,000 pelajar yang terdiri daripada 2,700 murid sekolah rendah dan 300 pelajar sekolah menengah,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Anugerah Kecemerlangan 2018 anjuran yayasan tersebut di sini semalam.

Menurutnya, Yayasan Eco World komited dalam membantu pelajar-pelajar yang memerlukan seawal tahun satu hingga ke menara gading.

“Setiap bantuan yang disalurkan ini tidak terhenti sekadar di peringkat sekolah menengah sahaja, malah kami turut membantu mereka yang memerlukan bantuan dari segi bayaran yuran dan sebagainya di peringkat universiti.

“Pelaburan yang kami lakukan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar malah dapat meningkatkan mutu pendidikan negara dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, Lam Thye memberitahu, baru-baru ini beliau turut bertemu dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi menerangkan usaha sektor swasta dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara.