Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi tumpuan seperti Pasar Seni, Jalan Tunku Abdul Rahman, Dataran Merdeka hari ini mendapati rata-rata mereka adalah warga Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang mengambil kesempatan sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan-rakan atau keluarga.

Dengan pelbagai gelagat ada yang keluar membeli-belah, yang bersiar-siar atau melepak secara berkumpulan, namun mereka semakin lupa untuk mematuhi peraturan menjaga kebersihan ibu kota dan semakin ‘berani’ seolah-olah berada di tanah air mereka sendiri.

Secara selamba mereka boleh menjual sireh yang dianggap ‘manisan’ di sekitar kaki-kaki lima malah lebih menjijikkan kelihatan air ludahan kunyahan sireh memenuhi di tepi-tepi jalan sehingga mencacatkan pemandangan.

Seorang warga tempatan Raizan Azmi, 38, berkata, kesan ludahan tersebut ‘merosakkan’ pemandangan tempat-tempat tumpuan malah kekurangan pemantauan pihak berkuasa sempena cuti umum seolah-olah memberi ‘muka’ kepada warga asing untuk terus bermaharajalela kerana tahu tiada serbuan dan pemantauan dilakukan.

“Sepatutnya pihak berkuasa kita perlu membuat pemantauan yang lebih tegas dan tidak membiarkan golongan warga asing terus bermaharajalela di negara kita, lagipun kelompok mereka semakin ramai menjadikan mereka semakin berani,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, warga tempatan, Rizal Abdul rahman, 45, berkata, kawasan sekitar Kompleks Kotaraya itu dipenuhi dengan plastik minuman yang dibuang merata-rata dan ini mencemarkan pemandangan.

“Sakit mata memandang sampah-sarap yang banyak selain kesan kunyahan sirih selepas mereka melepak sepanjang malam. Kejadian serupa berlaku setiap kali perayaan hari raya atau hari-hari kelepasan am,” katanya yang juga pemandu teksi. – UTUSAN ONLINE