Perlawanan berkesudahan de­­ngan jaringan seri 2-2 dan berlangsung dengan penuh semangat setiakawan, menggambarkan keakraban serta hubu­ngan baik antara dua saluran media yang paling berpengaruh di Malaysia.

Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, perlawanan amal itu merupakan simbol kebersamaan agensi media dalam usaha membantu golongan yang memerlukan seperti mangsa bencana alam di Palu.

“Ini adalah kali pertama Utusan Malaysia dan Berita Hari­an berganding bahu untuk program seumpama ini dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Walaupun kita bersaing dari segi media tetapi menerusi program sebegini, ia menunjukkan kita boleh bersatu dan alhamdulillah, perlawanan Bola Sepak Amal 2018 antara veteran Utusan Malaysia dengan veteran Berita Harian turut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail," katanya kepada Utusan Malaysia di sini,

Tuanku Syed Faizuddin hadir merasmikan program itu serta menerima sumbangan berjumlah RM28,600 untuk diagihkan di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nizam Mohd. Noor berkata, beliau me­ngucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia dan Berita Harian yang prihatin dengan peristiwa malang yang berlaku di Palu baru-baru ini.

“Tindakan ini sekali gus mem­buktikan bahawa kita mem­punyai solidariti dan prihatin dengan kejadian yang berlaku.

“Sehubungan itu, sumba­ngan yang berjaya dikumpul ini akan diserahkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti seperti Majlis Belia Perlis dan Institut Qayyim,” katanya.

Dalam masa sama, majlis tersebut turut menyaksikan masjid-masjid di Perlis tampil dengan kutipan bernilai RM122,709; TNB (RM20,000); Bank Rakyat (RM3,000) dan Teras Tanjung (RM3,000).