Bagaimanapun para ibu bapa mengeluh kerana kebanyakan kasut sekolah berwarna hitam pula dijual lebih mahal.

KASUT hitam kebanyakkannya dijual pada harga RM40 ke atas. - UTUSAN ONLINE

KASUT hitam kebanyakkannya dijual pada harga RM40 ke atas. - UTUSAN ONLINE

Tinjauan Utusan Online di sekitar bandaraya Kuala Lumpur mendapati, purata harga kasut putih yang dijual menunjukkan penurunan harga 50 peratus berbanding tahun lepas iaitu dengan penjualan dua pasang kasut putih berharga RM20.

NG HANG KUANG
NG HANG KUANG 

Pengurus sebuah gedung pakaian sekolah, Ng Hang Kuang mengakui kasut putih ditawarkan lebih murah berbanding tahun-tahun sebelumnya di samping kasut hitam yang dijual lebih laris.

“Sejak Menteri Pendidikan mengumumkan pemakaian kasut sekolah hitam untuk murid-murid, penjualan kasut hitam lebih laku. Kebanyakan kedai menawarkan harga kurang RM20 untuk sepasang kasut putih dan kurang RM30 bagi dua pasang kasut putih.

“Jadi kebanyakan pelanggan yang mahu berjimat mereka akan membeli kasut sekolah putih, tapi kebiasaannya ramai yang beli kasut hitam. Kasut sekolah hitam biasanya dijual bermula RM35 hingga RM60 bergantung kepada ‘design’,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Walaupun harga kasut sekolah putih lebih murah, rata-rata ibu bapa mengeluh kerana kebanyakan kasut sekolah hitam pula lebih mahal.

RODZIAH ABDUL RAHMAN
RODZIAH ABDUL RAHMAN 

Pekerja swasta, Rodziah Abdul Rahman, 56, berkata, perbelanjaan sekolah yang semakin membebankan dengan penjualan kasut sekolah hitam yang mahal membuatkan dia terpaksa berjimat-cermat dalam berbelanja.

“Nanti anak pergi sekolah perlu mula memakai kasut hitam, tapi rata-rata kasut hitam yang dijual mahal, ada lebih RM40. Ditambah pula dengan perbelanjaan buku-buku rujukan serta latihan, lebih kurang RM500 juga perlu dibelanja bagi persiapan persekolahan seorang anak,” jelasnya.

Dalam pada itu, surirumah, Norhanim Mohd. Nor, 33, berpandangan isu harga kasut bukan sahaja menjadi kebimbangan ibu bapa, malah, harga persiapan persekolahan lain seperti kapur kasut hitam, pakaian sekolah dan alat-alat tulis meningkat hampir dua kali ganda.

NORHANIM MOHD. NOR sedang memilih kasut sekolah putih bagi persiapan persekolahan anaknya. – UTUSAN

NORHANIM MOHD. NOR sedang memilih kasut sekolah putih bagi persiapan persekolahan anaknya. – UTUSAN ONLINE

“Bajet RM300 untuk dua orang anak, kalau dicampur dengan kelengkapan lain dah lebih RM500. Kali ini perbelanjaan lebih mahal, buku sahaja RM250 untuk dua orang anak, belum lagi termasuk peralatan tulis.

“Saya berharap kalau boleh perbelanjaan untuk buku sekolah dapat dikurangkan, jika terdapat buku yang tidak perlu dibeli, tidak perlu dimasukkan sekali ke dalam pakej,” katanya.

Walaupun ramai yang mengeluh mengenai harga kasut sekolah hitam lebih mahal, namun bagi Wan Chik Awasri, 55, yang bekerja sendiri berkata, perkara itu adalah wajar kerana kasut sekolah hitam lebih mudah dijaga dan kelihatan bersih.

WAN CHIK AWASRI sedang mengukur seluar sekolah kepada anaknya di sebuah gedung pakaian sekolah di Ku

WAN CHIK AWASRI sedang mengukur seluar sekolah kepada anaknya di sebuah gedung pakaian sekolah di Kuala Lumpur.  – UTUSAN ONLINE

“Kasut putih tiada masalah, cuma cepat kotor, jadi lebih baik untuk murid-murid memakai kasut sekolah hitam,” katanya.

NIK MOHAMAD SENIK
NIK MOHAMAD SENIK 

Dalam nada yang sama, pemandu, Nik Mohamad Senik, 37, turut memberi pandangan yang serupa dan memuji penguatkuasaan pemakaian kasut hitam dalam kalangan murid-murid di sekolah.

“Anak saya memang pakai kasut hitam, sebab kasut hitam lambat kotor, kasut putih kena jaga, Saya tidak mengetahui mengenai peningkatan harga kasut hitam, kerana anak saya memakai kasut tersebut sejak mula melangkah ke alam persekolahan lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE