AHLI Ex4 Nostalgia Machine Malaysia meluangkan masa bersama anak yatim melakukan aktiviti mewarna.

Itu antara pengalaman yang sungguh meruntun hati yang pernah dilalui ahli kumpulan EX5 Nostalgia Machine Malaysia sepanjang terlibat dalam program amal dan kebajikan.

Wakil kelab, Mohd. Ariffin Ruslan, berkata, aktiviti amal yang dilakukan banyak memberi pengalaman dan pendedahan mengenai golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim.

“Kadang-kadang..., kalau tidak dapat menahan diri, boleh mengalir air mata setiap kali melihat wajah mereka.

“Ketika kami tiba di hadapan kediaman mereka, jelas terpancar perasaan gembira di wajah setiap anak-anak yang menyambut kehadiran kami. Mereka sebenarnya sangat teruja setiap kali menerima kehadiran orang luar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai keluarga.

“Sepanjang lawatan, kami dapat melihat keriangan mereka melakukan aktiviti suai kenal, kuiz dan sukaneka bersama ahli yang menyertai program amal. Setelah program berakhir, mereka juga dilihat seolah-olah berat melepaskan kami dan meminta kami agar datang melawat dan mengunjungi ke rumah mereka lagi,” katanya.

Antara rumah anak yatim dan tahfiz yang pernah menerima sumbangan daripada kumpulan itu termasuklah Rumah Amal Kasih Bestari di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor, Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith, Rantau Panjang, Klang, Selangor dan Rumah Anak Yatim Al Taqwa Puchong, Selangor.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan golongan asnaf yang tular di laman sosial.

“Kami selalu memperolehi maklumat dari Facebook mengenai mereka yang memerlukan bantuan, khususnya keperluan harian.

“Apabila sesuatu kisah sedih dan nasib malang golongan ini menjadi tular, kami akan segera hubungi mereka bagi mendapatkan maklumat tentang bantuan yang diperlukan.

“Setelah itu, barulah kami mengatur perancangan mengumpul dana dan membeli barang keperluan seharian.

“Akhir sekali, kami akan berkonvoi menuju ke lokasi kediaman mereka untuk menyalurkan sumbangan dan menjalankan pelbagai aktiviti sampingan,” katanya.